ORANG YANG TIDAK PERNAH DIBAKAR PANAS MENTARI, MUSTAHIL MENGHARGAI RIMBUN BERTEDUH.. :)

Friday, June 3, 2011

Ummu Syuraik

Ummu syuraik

Wanita agung ini mungkin jarang sekali menyapa telinga kita walaupun suatu ketika dahulu beliau ibarat sang matahari yang menyinar cahayanya ke seluruh pelusuk alam ini. Beliau merupakan seorang da’iyah yang begitu komited dalam memperjuangkan agama Islam.

Ummu syuraik RA atau nama sebenarnya ialah Ghazyah binti Jabir bin Hakim merupakan seorang wanita Quraisy dari Bani Amir bin Lu’ai dan beliau pernah menjadi pendamping Abu Al-Akr Ad-Dausi. Meskipun catatan riwayat hidup beliau tidak banyak tertulis, namun kehadiran beliau dalam menegakkan panji-panji Islam tetap terpahat kukuh dalam hati orang-orang beriman. Ummu syuraik RA dengan sepenuh hati dan jiwanya mewakafkan seluruh hidupnya semata-mata untuk mengembangkan amanah dakwah dan jihad demi cintanya yang terlalu agung kepada Allah SWT.

Hati Ummu syuraik yang sentiasa dipelihara oleh Allah sangat mudah tersentuh dengan kehadiran cahaya Islam semasa beliau menetap di Mekkah lagi. Apabila keimanan dan kecintaan terhadap Allah mula merasuk dan menguasai dirinya, beliau tanpa teragak-agak lagi mengambil keputusan untuk menjadi penyambung risalah para nabi dan berdakwah kepada masyarakat di sekitarnya untuk membawa mereka menuju Allah meskipun beliau sedia mengetahui tentang risiko dan akibat buruk yang bakal mengancam tatkala itu.

Dengan semangat dan keazaman yang sangat kuat, beliau sanggup menempuh segala macam rintangan dan mengorbankan dirinya untuk berkemungkinan ditangkap dan dibunuh oleh orang kafir. Beliau mula bergerak secara sulit dan diam-diam menemui wanita Quraisy seterusnya menyampaikan risalah Islam kepada mereka dengan bersungguh-sungguh. Ummu syuraik tanpa sedikit pun perasaan takut dan gentar untuk berdakwah sehinggalah saat Allah menurunkan kepadanya ujian. Dakwah yang dilakukan olehnya telah berjaya dihidu oleh pihak pembesar Mekkah dan mereka terus bertindak menangkapnya.

Ummu syuraik menceritakan bahawa:

Dirinya telah dirangkap dan diletakkan di atas unta yang lemah tanpa pelana kemudian dibawa menuju ke suatu tempat. “mereka membawaku selama 3 hari 3 malam tanpa memberikan makan &minum melainkan hanya memberiku madu tanpa setitis air. Tatkala tiba waktu tengahari ketika mereka hendak beristirehat, mereka menurunkanku dan memukuliku dan kemudiannya dengan penuh kejam tanpa sedikit pun belas kasihan mereka meninggalkan aku di tengah padang pasir yang panas membahang sedangkan mereka berehat di bawah pepohon. Kudratku tidak terdaya sehingga hampir saja penglihatan, pendengaran serta akal warasku hilang. Mereka memperlakukan sebegitu selama 3 hari 3 malam berturut-turut.

Ketika sampai hari yang ketiga, mereka memberiku ancaman dan menyuruhku meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad SAW. Ketika itu aku sudah tidak berupaya lagi untuk mendengar perkataan yang diucapkan oleh mereka kerana  tidak tertahan dengan seksa panas terik yang melampau. Aku hanya mampu menunjukkan isyarat ke arah langit, yang menunjukkan bahawa sekalipun aku mati tidak mungkin aku akan meninggalkan agama ini. Biarpun penderitaan yang ditanggung melangkaui batas kemanusiaan, Ummu syuraik tetap teguh memelihara akidahnya kerana tidak ada yang lebih manis dari syurga Allah untuk orang-orang yang berjihad ke jalan Allah.

Kemudian Ummu syuraik melanjutkan “demi Allah Zat yang Maha Berkuasa, ketika nyawaku dihujung tanduk, tiba-tiba aku merasakan sesuatu yang begitu dingin menitis di atas tubuhku dan mendapati rupa-rupanya ia adalah sebuah bejana yang mengandungi air. Maka tanpa membuang masa aku terus mengambil dan meneguknya sedikit demi sedikit berulang kali sehingga aku puas. Setiap kali selepas minum, bejana itu akan terangkat dan aku tidak dapat meminumnya lagi. Rupa-rupanya bejana itu tergantung antara langit dan bumi. Dan setiap kali aku ingin minum, bejana itu akan terangkat ddan menitiskan airnya ke mulutku. Aku minum dengan sepuasnya dan terus membasahkan seluruh tubuh badan dan pakaianku dengan air dari bejana tersebut.

Ketika orang kafir tersebut bangun dari istirehat mereka, mereka sangat terkejut bukan kepalang melihatkan keadaan diriku yang basah dan segar bugar serta tumpahan air di mana-mana. Mereka lantas memarahiku. “ dari mana kamu mendapatkan air ini? Adakah kamu mengambil air ini dari bejana  kami? Aku segera menjawab dan menceritakan apa yang berlaku tadi. Mendengarkan kata-kataku, mereka terus memeriksa bejana air mereka dan akhirnya mendapati bejana itu masih tertutup rapat dan langsung tidak terusik sedikit pun.

Mereka terkejut dan terpempan dengan apa yang berlaku. Akhirnya dengan kuasa Allah mereka berkata “aku bersaksi bahawa sesungguhnya Tuhanmu adalah Tuhan kami juga. Sesungguhnya Dialah Maha Berkuasa terhadap segala yang berlaku”. Maka dengan izin Allah, saat itu juga mereka semua dengan rela hati mengakui keislaman mereka.

Inilah berkat kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang mujahadah yang tidak pernah jemu dalam menyebarkan agama Islam. Semoga keperibadiannya mampu menyentuh sanubari kita untuk terus memperjuangkan agama yang suci ini walaupun pelbagai ujian dan cabaran yang mendatang. 

No comments:

Post a Comment