ORANG YANG TIDAK PERNAH DIBAKAR PANAS MENTARI, MUSTAHIL MENGHARGAI RIMBUN BERTEDUH.. :)

Sunday, June 5, 2011

Ummu sulaim

Nama sebenar beliau ialah Ummu Sulaim binti Malhan bin Khalid bin Zaid bin Haram bin Jundub bin Amir bin Ghanam bin ‘Ady bin Najjar. Beliau merupakan seorang wanita yang cantik dan memiliki sifat keibuan. Dirinya dihiasi dengan kebijaksanaan, ketabahan, kefasihan berkata-kata dan berakhlak mulia.

Pada mulanya, ummu sulaim berkahwin dengan Malik bin Nadlar dan mendapat seorang cahayamata yang diberi nama Anas. Apabila agama Islam datang ke Madinah, Ummu sulaim telah memeluk agama Islam bersama kaumnya. Beliau telah mengajak suaminya untuk sama-sama memeluk agama Islam namun suaminya enggan. Bukan sahaja menolak marah memarahi ummu sulaim. “Apakah engkau sudah membelakangkan agama datuk nenek selama ini?”

Kemudian Ummu sulaim menjawab dengan penuh keyakinan, “Sesungguhnya aku telah menyerahkan wajahku kepada Allah, Tuhan semesta alam ini.” Kemudian beliau mengajarkan anaknya, Anas untuk mengucap syahadah. Malik menjadi bertambah marah dan berkata, “kau sudah rosakkan kepercayaan anakku!”

Ummu sulaim segera menjawab dengan tegas, “ saya tidak merosakkan kepercayaannya tetapi saya memimpinnya ke jalan yang lurus agar dia membesar dengan mendapat hidayah.” Akibat terlalu marah, Malik bin Nadlar telah meninggalkan negerinya dan berhijrah ke Syam.

PERKAHWINAN KEDUA UMMU SULAIM :

Tidak lama selepas itu, beliau mendapat khabar yang suaminya Malik telah meninggal dunia di Syam. Abu talhah al-Ansari telah datang membawa rombongan meminang tetapi Ummu sulaim segera menolak lamaran tersebut. “wahai Abu Talhah, bagaimana aku boleh menjadi isterimu sedangkan kau masih menyembah batu dan tunduk kepada pokok yang tidak memberi manfaat kepadamu. Kau sanggup menyembah kayu yang boleh membakar sehingga menjadi abu dan kemudian boleh ditiup angin. Dimana akalmu?” ujar Ummu sulaim.

Setelah pulang, Abu Talhah memikirkan semula kata-kata Ummu sulaim dan menyedari perkara yang dikatakan Ummu sulaim adalah benar. Abu Talhah datang semula kepada Ummu sulaim dan menyatakan keislamannya. Ummu sulaim berasa gembira dan menerima pinangan Abu Talhah tanpa sebarang mas kahwin.

Ummu sulaim telah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Abdullah, hasil perkahwinan beliau bersama Abu Talhah. Rasulullah saw telah memberkatinya dan baginda sering berkunjung menziarahi Ummu sulaim di rumahnya. Baginda pernah berkata, “aku kasihankan Ummu sulaim, ayah dan saudaranya telah terbunuh di hadapan mataku dalam medan perang.”

KEBERANIAN UMMU SULAIM :

Ummu sulaim seorang yang sangat berani, beliau pernah keluar ke medan perang bersama-sama Rasulullah dan pernah menyaksikan pertempuran  di Badar dan Uhud. Ummu sulaim ditugaskan untuk memberi minum dan membalut luka kaum muslimin. Pada perang Hunain, beliau telah keluar membawa pisau sabit. Maka berkata Abu Talhah, “wahai Rasulullah, ini Ummu sulaim telah membawa pisau sabit.”

Rasulullah bertanya tentang pisau tersebut kepada Ummu sulaim dan beliau menjawab, “wahai Rasulullah, aku membawa pisau ini untuk mempertahankan diriku. Jika orang musyrik mendekatiku maka akanku coretkan pisau ini ke perutnya. Dengannya aku boleh membunuh sesiapa yang lari dari medan perang dan aku juga boleh membunuh sesiapa yang ingin membunuhmu.”

KETAQWAAN KEPADA ALLAH :

Anak ummu sulaim bersama Abu Talhah telah sakit tenat sehingga menyebabkan anaknya meninggal dunia namun ketika itu, suaminya Abu Talhah tiada disisinya. Ummu sulaim telah memandikan dan menguruskan jenazah anaknya kemudian jenazah anaknya diletakkan di atas katil seperti orang sedang tidur. Walaupun dalam keadaan berduka, beliau sempat berpesan kepada ahli keluarganya agar tidak memberitahu kepada Abu Talhah sehinggalah Ummu sulaim sendiri yang akan memberitahunya.

Pada malam itu sekembalinya Abu Talhah ke rumah, Ummu sulaim menyambutnya dengan senyuman mesra seperti biasa. Abu Talhah bertanya khabar anaknya, Ummu sulaim memberitahu anaknya kini telah lebih tenteram dan tenang. Abu Talhah berasa gembira dengan berita yang disampaikan isterinya. Ketika mereka berdua duduk berehat, tiba-tiba Ummu sulaim bertanya kepada suaminya. “Apa pendapatmu jika kita meminjam sesuatu daripada jiran tetangga, patutkah kita memulangkannya?”

“Tentu sekali, tiap pinjaman mestilah dikembalikan kepada tuannya,” jawab suaminya, Abu Talhah. Ummu sulaim berkata lagi, “begitu juga dengan anak kita, wahai Abu Talhah. Dia adalah pinjaman kepada kita, maka tuannya telah mengambil kembali milikNya, iaitu Allah swt.”

Mendengar itu, Abu Talhah mendapat tahu yang anaknya telah meninggal dunia. Maka, beliau telah menyerahkan segalanya kepada Allah. Abu Talhah telah berjumpa dengan Rasulullah lalu menceritakan peristiwa itu kepada baginda. Maka baginda Rasulullah s.a.w mendoakan kesejahteraan suami isteri tersebut.

Begitulah ketaqwaan seorang wanita agung yang memiliki kedudukan tinggi di sisi Rasulullah s.a.w. Baginda pernah membawa berita khabar gembira bahawa Ummu sulaim tergolong dalam ahli jannah. Baginda bersabda : “aku masuk syurga lalu aku mendengar suara, maka aku bertanya “siapa itu?” mereka menjawab, dialah Ummu Sulaim binti Marham, ibu kepada Anas bin Malik.”

Friday, June 3, 2011

Ummu Syuraik

Ummu syuraik

Wanita agung ini mungkin jarang sekali menyapa telinga kita walaupun suatu ketika dahulu beliau ibarat sang matahari yang menyinar cahayanya ke seluruh pelusuk alam ini. Beliau merupakan seorang da’iyah yang begitu komited dalam memperjuangkan agama Islam.

Ummu syuraik RA atau nama sebenarnya ialah Ghazyah binti Jabir bin Hakim merupakan seorang wanita Quraisy dari Bani Amir bin Lu’ai dan beliau pernah menjadi pendamping Abu Al-Akr Ad-Dausi. Meskipun catatan riwayat hidup beliau tidak banyak tertulis, namun kehadiran beliau dalam menegakkan panji-panji Islam tetap terpahat kukuh dalam hati orang-orang beriman. Ummu syuraik RA dengan sepenuh hati dan jiwanya mewakafkan seluruh hidupnya semata-mata untuk mengembangkan amanah dakwah dan jihad demi cintanya yang terlalu agung kepada Allah SWT.

Hati Ummu syuraik yang sentiasa dipelihara oleh Allah sangat mudah tersentuh dengan kehadiran cahaya Islam semasa beliau menetap di Mekkah lagi. Apabila keimanan dan kecintaan terhadap Allah mula merasuk dan menguasai dirinya, beliau tanpa teragak-agak lagi mengambil keputusan untuk menjadi penyambung risalah para nabi dan berdakwah kepada masyarakat di sekitarnya untuk membawa mereka menuju Allah meskipun beliau sedia mengetahui tentang risiko dan akibat buruk yang bakal mengancam tatkala itu.

Dengan semangat dan keazaman yang sangat kuat, beliau sanggup menempuh segala macam rintangan dan mengorbankan dirinya untuk berkemungkinan ditangkap dan dibunuh oleh orang kafir. Beliau mula bergerak secara sulit dan diam-diam menemui wanita Quraisy seterusnya menyampaikan risalah Islam kepada mereka dengan bersungguh-sungguh. Ummu syuraik tanpa sedikit pun perasaan takut dan gentar untuk berdakwah sehinggalah saat Allah menurunkan kepadanya ujian. Dakwah yang dilakukan olehnya telah berjaya dihidu oleh pihak pembesar Mekkah dan mereka terus bertindak menangkapnya.

Ummu syuraik menceritakan bahawa:

Dirinya telah dirangkap dan diletakkan di atas unta yang lemah tanpa pelana kemudian dibawa menuju ke suatu tempat. “mereka membawaku selama 3 hari 3 malam tanpa memberikan makan &minum melainkan hanya memberiku madu tanpa setitis air. Tatkala tiba waktu tengahari ketika mereka hendak beristirehat, mereka menurunkanku dan memukuliku dan kemudiannya dengan penuh kejam tanpa sedikit pun belas kasihan mereka meninggalkan aku di tengah padang pasir yang panas membahang sedangkan mereka berehat di bawah pepohon. Kudratku tidak terdaya sehingga hampir saja penglihatan, pendengaran serta akal warasku hilang. Mereka memperlakukan sebegitu selama 3 hari 3 malam berturut-turut.

Ketika sampai hari yang ketiga, mereka memberiku ancaman dan menyuruhku meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad SAW. Ketika itu aku sudah tidak berupaya lagi untuk mendengar perkataan yang diucapkan oleh mereka kerana  tidak tertahan dengan seksa panas terik yang melampau. Aku hanya mampu menunjukkan isyarat ke arah langit, yang menunjukkan bahawa sekalipun aku mati tidak mungkin aku akan meninggalkan agama ini. Biarpun penderitaan yang ditanggung melangkaui batas kemanusiaan, Ummu syuraik tetap teguh memelihara akidahnya kerana tidak ada yang lebih manis dari syurga Allah untuk orang-orang yang berjihad ke jalan Allah.

Kemudian Ummu syuraik melanjutkan “demi Allah Zat yang Maha Berkuasa, ketika nyawaku dihujung tanduk, tiba-tiba aku merasakan sesuatu yang begitu dingin menitis di atas tubuhku dan mendapati rupa-rupanya ia adalah sebuah bejana yang mengandungi air. Maka tanpa membuang masa aku terus mengambil dan meneguknya sedikit demi sedikit berulang kali sehingga aku puas. Setiap kali selepas minum, bejana itu akan terangkat dan aku tidak dapat meminumnya lagi. Rupa-rupanya bejana itu tergantung antara langit dan bumi. Dan setiap kali aku ingin minum, bejana itu akan terangkat ddan menitiskan airnya ke mulutku. Aku minum dengan sepuasnya dan terus membasahkan seluruh tubuh badan dan pakaianku dengan air dari bejana tersebut.

Ketika orang kafir tersebut bangun dari istirehat mereka, mereka sangat terkejut bukan kepalang melihatkan keadaan diriku yang basah dan segar bugar serta tumpahan air di mana-mana. Mereka lantas memarahiku. “ dari mana kamu mendapatkan air ini? Adakah kamu mengambil air ini dari bejana  kami? Aku segera menjawab dan menceritakan apa yang berlaku tadi. Mendengarkan kata-kataku, mereka terus memeriksa bejana air mereka dan akhirnya mendapati bejana itu masih tertutup rapat dan langsung tidak terusik sedikit pun.

Mereka terkejut dan terpempan dengan apa yang berlaku. Akhirnya dengan kuasa Allah mereka berkata “aku bersaksi bahawa sesungguhnya Tuhanmu adalah Tuhan kami juga. Sesungguhnya Dialah Maha Berkuasa terhadap segala yang berlaku”. Maka dengan izin Allah, saat itu juga mereka semua dengan rela hati mengakui keislaman mereka.

Inilah berkat kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang mujahadah yang tidak pernah jemu dalam menyebarkan agama Islam. Semoga keperibadiannya mampu menyentuh sanubari kita untuk terus memperjuangkan agama yang suci ini walaupun pelbagai ujian dan cabaran yang mendatang.