malam melabuhkan tirainya,
gelap memenuhi ruang angkasa,
gelita meluaskan kuasanya,
ketika itulah semua manusia mula memasuki dunia kedua,
meninggalkan alam nyata,
setiap yang bertenaga akan tidur sepuasnya,
hanyut dibawa mimpi indah dunia
namun jauh di sudut dinding usang sujudnya seorang hamba,
sendiri menghitung tasbih di jari,
sendiri membisik kalimah suci,
kudratnya diraih di siang hari,
semata-mata ingin menghadirkan diri mengadap Ilahi,
ketika sunyi malam mula menari,
ketika itulah jasad menghamparkan sejadah menghadap kiblat,
ya Rabbul I'zzati, aku datang menghadapMu,
ruku' dan sujud hanya kerana redhaNya,
zikir dan tahmid hanya kerana cintaNya,
jari diratib memuji kebesaranNya,
agungNya mencipta malam untuk beribadat kepadaNya,
fajar mula menyinsing menyinari alam semesta,
embun menitik tanda pagi mula menjengah ke dunia,
siang mula kembali kepada asalnya,
malam ditinggalkan dan pastinya akan ditunggu seterusnya,
kerana malam itu diciptakan hanya untuk 'dibangunkan'
oleh insan-insan yang sentiasa mengejar syurgaNya.
No comments:
Post a Comment