ORANG YANG TIDAK PERNAH DIBAKAR PANAS MENTARI, MUSTAHIL MENGHARGAI RIMBUN BERTEDUH.. :)

Thursday, July 5, 2012

Syaaban Bulan Mulia





Sesungguhnya Islam telah pun menawarkan pelbagai cara untuk memperolehi ganjaran yang teramat lumayan dari Allah S.W.T, hanya dengan usaha dan kesungguhan mereka inilah yang akan memperolehi bukan sahaja kebaikan malah rahmat yang berlipat kali ganda dari Allah. salah satu peluang ialah mengumpul sebanyak mungkin pahala dan kebaikan dari bulan-bulan tertentu yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Bulan syaaban antara bulan yang penuh barakah.. kalau mahu dihitung segala kelebihan dan fadilat bulan mulia ini pastinya tidak terhitung oleh manusia. sesungguhnya Allah telah pun menyediakan jambatan yang mudah untuk ke syurga namun manusia tidak menyedarinya. 

Sabda Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.

Antara amalan yang digalakkan dalm bulan syaaban ini ialah berpuasa. puasa boleh dikatakan antara amalan yang sukar kerana ianya menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi seseorang itu. walau bagaimanapun, ini antara amalan yang banyak ganjaran jika melakukannya. Dalam sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid.

Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan. Bukan sahaja puasa, malah doa orang-orang yang beriman juga akan dimakbulkan oleh Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba', orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.

Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.

2 comments: